Pages

Sunday, February 2, 2014

Anak Masih Cakap Pelat

Soalan:
Anak sulung saya kini berusia 4 tahun. Berbanding adiknya yang berusia 3 tahun, si abang agak lambat untuk faham tentang sesuatu. Malah dia masih pelat dan jauh beza dengan adiknya yang petah bercakap. Adakah keadaan ini normal bagi kanak-kanak dan bagaimanakah caranya untuk dia lebih cepat faham dan dapat bertutur dengan lancar?

Jawapan:
Pada umumnya, 75 peratus kanak-kanak boleh menyebut bunyi-bunyi tertentu pada umur yang tertentu. Contohnya, pada usia anak 3 tahun, mereka sudah boleh menyebut bunyi-bunyi b,d,g,h,m,n,p,t,w, ng. Apabila umur mereka mencecah 3 1/2 tahun, mereka boleh menyebut k,f.
Pada usia anak 4 tahun pula, mereka boleh menyebut l, sh, ch. Seterusnya, pada usia anak 4 1/2 tahun, mereka boleh  menyebut j,s,z. Pada usia anak 5 tahun pula, mereka sudah boleh membunyikan huruf r. Pada usia anak 6 tahun pula, mereka sudah pandai membunyikan huruf v.
Apabila usia mereka meningkat 7 tahun, mereka menjadi semakin cekap dan boleh membunyikan th (macam bunyi huruf tha (huruf al quran). Namun, perlu diingatkan sekali lagi, 75 peratus sahaja kanak-kanak yang boleh menyebut huruf-huruf tertentu mengikut tahap umur mereka. Tidak semua kanak-kanak akan melalui tahap yang serupa.
Mungkin mereka cepat berjalan, oleh sebab itu  mereka agak lambat untuk bercakap dan juga sebaliknya. Mungkin disebabkan faktor kognitif dan sosialisasi mereka. Sekiranya sudah berjumpa doktor dan anak tuan tiada masalah atau kecacatan fizikal, mungkin anak tuan mengambil sedikit masa untuk bertutur sepenuhnya berbanding adiknya. Cuma, jangan terlalu melayan pelatnya itu sehinggakan kita sebagai ibu bapa turut bercakap pelat dengannya. Betulkan setiap kali anak tuan bercakap pelat. Jangan dimarahi seperti “itu salah...berapa kali nak cakap”, nanti anak-anak akan berasa bimbang, cemas, takut, dan malu. Hanya ulang semula perkataan yang pelat dengan perkataan yang  betul dan mintanya mengulanginya. Jangan pula membandingkan dengan adiknya seperti “ tengok tu, adik lagi pandai dan cekap dari abang”. Dengan berbuat demikian akan hanya menjadikannya rasa rendah diri dan mungkin marah dan dendam dengan adiknya.

0 comments:

Post a Comment